F1: PM Anwar ‘Serbu’ Kawasan Pemegang Tiket MADANI

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan tinjauan mesra sekitar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 4 Oktober 2026. Foto PMO
SEPANG, 4 Okt – Di tengah-tengah kehangatan perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Malaysia 2026, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mencuri tumpuan apabila turun ke kawasan berbukit menyantuni para peminat F1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), petang tadi.
Keceriaan berganda disaksikan para peminat ketika Perdana Menteri meninjau kawasan Hillstand Area G yang penuh dengan sebahagian besar pemegang tiket MADANI sambil bersalaman dengan peminat F1 yang hadir seawal jam 9 pagi lagi.

Para peminat yang sedar akan kehadiran Perdana Menteri kemudian bergambar bersama dan merakam momen kenangan buat kali pertama sejak kali terakhir SIC menganjurkan F1 pada 2017.
Rata-rata mereka berpuas hati dapat menyaksikan perlumbaan secara langsung dengan harga tiket serendah RM200 setelah persetujuan dicapai antara Bahrain International Circuit (BIC) dan kerajaan Malaysia yang memperuntukkan tiket berkenaan khusus buat warganegara Malaysia.

“Meriah suasana di sini, dengan pemandangan litar yang menarik dan Karnival Litar Rasa MADANI, yang menghimpunkan kira-kira 40 peniaga tempatan, menawarkan pelbagai makanan dan minuman, termasuk snek serta makanan ringan.

“Sambil menikmati perlumbaan di litar, bolehlah menjamu selera dan menyokong peniaga kita!” kata Anwar.
Menerusi hantaran di media sosial itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan semua agensi yang terbabit dalam menjayakan karnival berkenaan.

“Ia sekali gus memastikan kemeriahan F1 turut membawa limpahan rezeki buat peniaga tempatan,” katanya.
F1 GP Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 bermula kelmarin, dengan sesi latihan bebas pertama dan kedua, diikuti sesi latihan bebas ketiga serta sesi kelayakan semalam.

Perlumbaan utama sebanyak 55 pusingan itu bermula pada petang ini namun ditangguhkan lebih sejam setengah ekoran cuaca hujan dan trek perlumbaan digenangi lopak air.
Acara itu menandakan kepulangan F1 ke Sepang selepas sembilan tahun tidak berlangsung di litar berkenaan, dengan perlumbaan terakhir diadakan pada 2017.

Pada Julai lalu, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah F1 GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober, susulan persetujuan yang membabitkan F1, FIA serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Persetujuan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas acara asal tidak dapat berlangsung di Bahrain, dengan perlumbaan itu dipindahkan ke Sepang susulan situasi serantau.

Kepulangan F1 ke Malaysia susulan perbincangan dan kerjasama membabitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al-Khalifa, selain kedua-dua kerajaan.
F1 membuat penampilan sulung di Sepang pada 1999, dengan litar berkenaan menjadi tuan rumah GP Malaysia sehingga 2017.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
