F1: PM Anwar Lawat SIC, Tinjau Persiapan Pasukan Bagi Perlumbaan Esok
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al-Khalifa di kawasan paddock Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 3 Oktober 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
SEPANG, 3 Okt – Sesi kelayakan Formula One (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tambah meriah dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini yang turut meninjau persiapan jentera dan keseluruhan perjalanan perlumbaan itu.
Anwar tiba dalam keadaan sesi kelayakan petak perlumbaan telah pun bermula jam 4 petang tadi yang berlangsung selama sejam yang menyaksikan juara Belanda, Max Verstappen mengungguli petak utama saingan jam 3 petang esok.
Ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan kira-kira jam 4.50 petang disambut oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik dan Pengerusi SIC, Datin Anita Azrina Abdul Aziz.

Beliau kemudian melakukan lawatan selama 15 minit ke kawasan pit pasukan Mercedes-AMG PETRONAS dan beramah mesra bersama kru teknikal dan jurutera pelbagai aspek termasuk elektrikal, mekanikal dan kecekapan tenaga.
Selepas sesi berkenaan, Anwar menghadiri majlis makan malam dianjurkan oleh Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al-Khalifa di kawasan paddock (kawasan persediaan pasukan bagi perlumbaan F1).
F1 GP Gulf Air Bahrain di Malaysia bermula semalam dengan sesi latihan bebas pertama dan kedua, diikuti sesi latihan bebas ketiga serta sesi kelayakan hari ini.
Perlumbaan utama sebanyak 56 pusingan di litar sejauh 5.543 kilometer itu dijadualkan bermula pada jam 3 petang bagi merebut mata kejuaraan dunia yang diterajui pelumba Mercedes-AMG PETRONAS, Kimi Antonelli.
Acara itu menandakan kembalinya F1 ke Sepang selepas sembilan tahun tidak berlangsung di litar berkenaan, dengan perlumbaan terakhir diadakan pada 2017.
Pada Julai, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah F1 GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober, susulan persetujuan yang melibatkan F1, FIA serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Persetujuan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas acara asal di Litar Antarabangsa Sakhir tidak dapat berlangsung di Bahrain, dengan perlumbaan itu dipindahkan ke Sepang susulan situasi serantau.

Kepulangan F1 ke Malaysia susulan perbincangan dan kerjasama yang membabitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa dari Bahrain, selain kedua-dua kerajaan.
F1 membuat penampilan sulung di Sepang pada 1999, dengan litar berkenaan menjadi tuan rumah GP Malaysia sehingga 2017.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
