F1: Keberangkatan Sultan Brunei Tambah Ceriakan Kehangatan Perlumbaan
Pesawat khas membawa Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 3 Oktober 2026. Foto Bernama
SUBANG, 3 Okt – Keberangkatan tiba Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang mencemar duli di Malaysia hari ini bagi lawatan khas bersempena dengan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), tambah menceriakan kehangatan perlumbaan sejak kali terakhir diadakan di litar itu pada 2017.
Ia juga disifatkan satu pengiktirafan kepada Malaysia yang bersetuju menganjurkan perlumbaan bertaraf dunia itu di rantau Asia Tenggara selain Singapura yang menjadi lokasi perlumbaan seterusnya yang akan diadakan di Marina Bay Street Circuit minggu depan.
Keberangkatan baginda juga yang akan menyaksikan perlumbaan F1 di SIC selepas kali terakhir dilangsungkan sembilan tahun lalu, turut memberi sokongan moral kepada rakyat Malaysia dan para peminat dari rantau Asia Tenggara termasuk dari Brunei, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Pesawat khas yang membawa baginda bersama dengan delegasi Brunei termasuk Putera Abdul Mateen Bolkiah selamat mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pada 4.28 petang dan disambut oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim serta Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Baginda kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan yang dibarisi dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diketuai Kapten Wan Amirul Syafiq Wan Zamri.
Penganjuran tahun ini juga merupakan kali pertama diadakan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sudah pasti keberangkatan Sultan Hassanal Bolkiah juga menambah seri acara sukan berkelajuan tinggi itu di SIC.

Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan itu yang berlangsung hingga Ahad ini.
Ia susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Perjanjian berkenaan memastikan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan itu dibatalkan pada awal musim ini susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat antara Iran dan Amerika Syarikat (AS).
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum digugurkan daripada kalendar F1 ekoran kos penganjuran yang tinggi sekitar AS$70 juta (RM300 juta) setahun.
Kembalinya perlumbaan berprestij ini ke Malaysia ialah hasil usaha kejayaan diplomasi antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al-Khalifa.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
