F1: GP Malaysia Bakal Kembali Ke Sepang – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali, sebelum perlumbaan bermula di Litar Antarabangsa Sepang pada 4 Oktober 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 4 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa Grand Prix (GP) Malaysia berpotensi kembali dalam kalendar tahunan Formula 1 (F1) secara tetap pada masa akan datang.
Khabar gembira itu dibincangkan ketika Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Formula 1, Stefano Domenicali, sejurus sebelum perlumbaan dimulakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Menurut hantaran di media sosial, Perdana Menteri menzahirkan hasrat mengembalikan GP Malaysia ke Sepang namun beberapa pertimbangan perlu diteliti mengambil kira jadual perlumbaan F1 yang padat serta komitmen kontrak F1 dengan negara penganjur sedia ada.
“Kami membincangkan prospek mengembalikan Grand Prix Malaysia dalam kalendar Formula 1 secara tetap, sekali gus menyambut hasrat peminat yang sekian lama menantikan kepulangannya ke Sepang.

“Namun, usaha ini memerlukan masa kerana penyusunan kalendar perlumbaan perlu mengambil kira jadual yang padat serta komitmen kontrak dengan negara penganjur sedia ada,” katanya.
Anwar berkata, perkara itu akan dibawa untuk dibincangkan bersama Jemaah Menteri bagi meneliti ruang dan hala tuju yang bersesuaian.

“Insya-Allah, perkara ini akan dibincangkan bersama Jemaah Menteri dengan mengambil kira kemampuan negara serta manfaatnya kepada ekonomi dan rakyat,” katanya.
Malaysia menjadi venue bagi penganjuran F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di SIC susulan krisis geopolitik di Asia Barat yang tercetus bermula akhir Februari lalu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
