F1: Antonelli Ungguli GP Amerika Syarikat, Verstappen Salah Pilih Tayar

Sorakan gemuruh diterima Kimi Antonelli sebaik tiba di pit kejuaraan Formula 1 Grand Prix Amerika Syarikat di Circuit of The Americas, Austin pada 25 Oktober 2026. Foto F1
AUSTIN, 26 Okt – Kimi Antonelli memenangi Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS) bersama Mercedes, sekali gus menghampiri gelaran juara dunia Formula Satu (F1) termuda dalam sejarah menjelang perlumbaan di Mexico hujung minggu depan.
Pelumba Itali berusia 20 tahun itu melakukan segala yang termampu untuk memastikan pencabar kejuaraannya tidak lagi berpeluang mengejar di Texas, namun Lewis Hamilton dari Ferrari dan rakan sepasukan Antonelli di Mercedes, George Russell, berjaya menangguhkan kejuaraan itu apabila masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan kelapan.
Antonelli kini hanya perlu mengutip dua mata, bersamaan tempat kesembilan, di Mexico City untuk mengesahkan kejuaraan.

Charles Leclerc dari Ferrari menamatkan perlumbaan di tempat kedua, ketinggalan 13.078 saat di Litar Americas, Austin, manakala Max Verstappen dari Red Bull di tempat ketiga.
Pelumba Belanda itu turut mendapat manfaat daripada pelaksanaan kereta keselamatan maya pada penghujung perlumbaan yang memperlahankan Hamilton.
Kemenangan dominan Antonelli dari petak utama menerusi strategi satu hentian pit itu ialah kemenangan kesembilannya musim ini.
Dia kini mendahului Russell dengan kelebihan 123 mata dan Hamilton sebanyak 124 mata, dengan maksimum 125 mata masih boleh diraih. Jumlah itu akan berkurangan kepada 100 mata selepas perlumbaan di Mexico.
Sementara itu, Verstappen mengakui kesilapan strategi penggunaan tayar menjadi antara punca dia gagal mencabar Kimi Antonelli, sekali gus terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Juara dunia empat kali itu yang memulakan perlumbaan di petak kedua, mengakui jentera Red Bull miliknya tidak memiliki kelajuan mencukupi untuk bersaing dengan Antonelli yang mendominasi perlumbaan bersama Mercedes.
Verstappen menggunakan tayar lembut bagi dua stint awal perlumbaan, keputusan yang menyaksikan dia terpaksa menggunakan strategi dua hentian di pit dan berdepan cabaran untuk mengekalkan kedudukan di kelompok hadapan.
“Saya rasa kelajuan keseluruhan kami tidak cukup baik dan mungkin tayar yang tersedia bukan pilihan tepat.
“Kami perlu memahami perkara ini kerana dalam beberapa perlumbaan terakhir, strategi itu sentiasa menjadi untuk kami. Namun, atas sebab tertentu, ia tidak berhasil kali ini,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


