Euro 2024: Serbia Hampir ‘Jinakkan’ England

Jude Bellingham meneruskan momentum positif dengan meledak gol kemenangan Three Lions di Schalke sebentar tadi. Foto AFP

SCHALKE, 16 Jun – Pasukan England ‘lulus’ ujian pertama apabila meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Serbia pada aksi pembukaan Kumpulan C saingan Euro 2024 di sini sebentar tadi.

Pada perlawanan di Stadium Veltins Arena itu, skuad Three Lions kendalian Gareth Southgate membariskan kesebelasan terbaik dengan Bukayo Saka, Harry Kane, Phil Foden dan Jude Bellingham mengetuai jentera serangan.

England tidak menunggu lama untuk berada di depan hasil jaringan Bellingham pada minit ke-13 yang bijak mencari ruang menanduk masuk gol selepas menerima hantaran Saka.

Tersentak dengan gol tersebut, Serbia memperkemaskan jentera serangan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan kapten, Aleksandr Mitrovic pada minit ke-21 tetapi sedikit tersasar.

England turut mempunyai peluang menggandakan kelebihan tetapi percubaan Kyle Walker pada situasi satu lawan satu berselang lima minit kemudian selepas menerima hantaran Saka tidak menepati sasaran.

Bersambung pada babak kedua, Serbia telah melakukan rombakan dalam kesebelasan utama dengan memasukkan pemain berpengalaman, Dusan Tadic dan Luka Jovic dalam usaha memburu gol penyamaan.

Kedua-dua pemain ini kemudian bergabung untuk mencipta peluang terbaik pada minit ke-66 tetapi percubaan lemah Jovic berjaya diselamatkan penjaga gol England, Jordan Pickford.

Pickford sekali lagi muncul wira apabila menyelamatkan gawang daripada dibolosi pada minit ke-83 dengan menepis rembatan deras penyerang muda, Dusan Vlahovic.

Peluang terakhir Serbia telah dilakukan oleh pemain tengah, Sergei Milinkovic-Savic pada penghujung perlawanan tetapi sedikit tersasar dengan kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *