Euro 2024: Saingan Sengit ‘Kumpulan Maut’ Paling Ditunggu

Itali yang juga juara bertahan Euro dijangka berdepan laluan sukar untuk mempertahankan kejuaraan di Jerman. Foto Football Italia

LONDON, 7 JunKumpulan B dianggap Kumpulan Maut pada pusingan akhir Euro 2024 kali ini.

Sepanyol, Croatia dan Itali bakal menyajikan permainan mantap dan sukar diduga dengan kesemuanya mempunyai keupayaan untuk muncul juara.

Albania mungkin dianggap pasukan ‘underdog’ namun mampu menggugat dinamik kumpulan itu.

Jangkakan perlawanan sengit, pertarungan taktikal dan potensi kejutan di sana sini ketika empat pasukan dalam kumpulan itu berusaha untuk merebut tempat ke pusingan kalah mati.

Perlawanan tumpuan: Sepanyol mln Itali di Gelsenkirchen pada 21 Jun.

SEPANYOL

Ranking FIFA: 8

Pemain bintang: Rodri, Alvaro Morata, Lamine Yamal

Keputusan terbaik: Juara (1964, 2008, 2012)

Jurulatih: Luis de la Fuente

Anda tidak perlu menjadi pakar untuk menjangkakan Sepanyol antara pasukan pilihan utama menjulang trofi Euro 2024 di Jerman.

Mereka akan mendominasi pegangan bola dalam semua perlawanan, namun mereka perlu memastikan jentera serangan mampu merobek pintu gol lawan.

Ketiadaan Gavi kerana kecederaan satu tamparan hebat tetapi kehadiran pemain remaja Lamine Yamal pasti dinanti-nantikan dan pengurus mereka Luis de la Fuente bukanlah satu nama besar dalam dunia bola sepak.

Kekuatan mereka adalah kemahiran teknikal, permainan corak pegangan bola, bakat memukau di bahagian tengah dan bersandarkan pemain dari kelab utama seperti Real Madrid dan Barcelona.

CROATIA

Ranking FIFA: 10

Pemain bintang: Luka Modric, Mateo Kovacic, Josko Gvardiol

Keputusan terbaik: Suku akhir (1996, 2008)

Jurulatih: Zlatko Dalic

Croatia menyingkirkan Brazil daripada Piala Dunia terakhir ketika skuad yang bertindak cemerlang itu sekali lagi bermain melebihi tahap sebenar mereka.

Mana-mana analisis dan ramalan Euro 2024 akan mengambil serius terhadap Croatia pada musim panas ini, namun mereka sebenarnya mengharapkan kumpulan yang lebih mudah daripada kumpulan maut ini.

Mereka mempunyai ramai pemain tengah yang penuh teknikal diketuai bintang veteran Luka Modric, mampu berdaya tahan dalam kejohanan utama.

Kekurangan mereka mungkin di sesetengah posisi tetapi anda boleh jangkakan mereka menjadi lawan yang paling sukar untuk ditemui dengan keupayaan menguasai perlawanan dengan baik dan tenang.

ITALI

Ranking FIFA: 9

Pemain tumpuan: Gianluigi Donnarumma, Nicolo Barella, Federico Chiesa

Keputusan terbaik: Juara (1968, 2021)

Jurulatih: Luciano Spalletti

Itali akan tampil pada Euro 2024 sebagai juara bertahan namun peminat mereka sendiri tidak berani untuk meramalkan ulangan pencapaian gemilang mereka tiga tahun lalu.

Ini bukannya skuad paling berpengalaman Itali namun Luciano Spalletti seorang jurulatih berbakat dan anda tidak boleh memandang Azzurri sebelah mata sahaja.

Kekuatan mereka adalah mengamalkan taktikal yang fleksibel, keutuhan benteng pertahanan dan serangan balas pantas yang boleh menjerat lawan.

Bagaimanapun mereka bergelut untuk mencari penjaring gol konsisten.

Mungkin mampu untuk mara lebih jauh tetapi bergantung kepada keberkesanan penyerang mereka menyudahkan peluang.

ALBANIA

Ranking FIFA: 66

Pemain tumpuan: Thomas Strakosha, Elseid Hysaj, Armando Broja

Keputusan terbaik: Peringkat kumpulan (2016)

Jurulatih: Sylvinho

Menang sekurang-kurangnya satu daripada tiga perlawanan mereka pasti satu pencapaian besar buat Albania, yang berdepan cabaran besar untuk meraih keputusan positif dalam Kumpulan B.

Pasukan yang hanya mampu seri 0-0 dengan Kepulauan Faroe tahun lalu tidak akan berada kerap dalam mana-mana ramalan bagi Euro 2024.

Kekuatan mereka adalah kejituan satu pasukan yang tersusun, bekerja keras sepanjang perlawanan.

Pemain mereka juga meraih pengalaman beraksi dalam beberapa liga utama di Eropah.

Kekurangan pengalaman dalam kejohanan utama selain kekurangan sumber pemain menjadi penghalang mereka.

Dianggap sebagai pasukan ‘underdog’ dalam kumpulan itu, bagaimanapun mereka boleh melakar kejutan dengan kekuatan bertahan dan melakukan serangan balas pantas.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *