Dua Rakyat Thailand Didakwa Bunuh Anggota Maritim Malaysia

Pradit Rimat dan Rotchahan Tehpuyu yang berasal dari Wilayah Satun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Kangar pada 5 November 2026. Foto Bernama
KANGAR, 5 Nov – Dua rakyat Thailand didakwa di Mahkamah Majistret Kangar atas tuduhan membunuh seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Sungai Padang, minggu lalu.
Berita Harian melaporkan, Pradit Rimat, 22, dan Rotchahan Tehpuyu, 21, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Dua lelaki berasal dari Wilayah Satun itu didakwa secara bersama mencapai niat melakukan bunuh terhadap Roshaimi Ridzuan, 41, dekat Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Sungai Padang antara 11 malam 26 Okt hingga 1.30 pagi keesokannya.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika tidak dihukum mati.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes bagi serahan dokumen laporan kimia dan bedah siasat pada 5 Jan depan.
Pada 27 Okt lalu, lima anggota Maritim Malaysia tercampak selepas bot peronda dinaiki mereka ketika mengejar bot disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) merempuh bongkah konkrit tinggalan jeti lama.
Kejadian berlaku di perairan Sungai Padang kira-kira 11.30 malam itu menyebabkan Roshaimi maut selepas dipercayai terhantuk bongkah konkrit berkenaan.
Di Mahkamah Sesyen Kangar, Pradit dan Rotchahan mengaku bersalah atas pertuduhan mengangkut sembilan warga Myanmar diseludup menggunakan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran di depan muara Sungai Padang antara 11 malam 26 Okt hingga 12.30 tengah malam 27 Okt lalu.
Pertuduhan itu dibacakan di depan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dua lelaki itu turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Akta Imigresen 1959/63, tetapi pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu bagi melengkapkan dokumen daripada Jabatan Imigresen.
Sementara itu, tujuh Pati warga Myanmar berusia 22 hingga 43 tahun, termasuk seorang wanita turut berdepan pertuduhan cuba memasuki Malaysia melalui jalan tidak diwartakan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63. – FMT
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



