Dua Kenderaan Bertembung, Seorang Maut

JOHOR. 15 MEI 2021. Anggota bomba dan penyelamat menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit dalam kereta Perodua Alza di Jalan Tanjung Sedili.
KOTA TINGGI, 15 Mei – Seorang pemandu maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Sayang, Jalan Tanjung Sedili, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.21 pagi.
Beliau berkata, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi dengan sembilan anggota ke tempat kejadian.
Katanya, operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan III, Ibrahim Wahid membantu mangsa kemalangan kereta dan pacuan empat roda.
“Seorang lelaki tersepit di dalam kereta dan mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa yang maut, Muhd Amirul Zakaria Zulkifli berusia 23 tahun diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, mangsa dalam pacuan empat roda dihantar ke hospital.
