Disyaki Hina Sultan Selangor, MCMC Siasat Pemilik Akaun Facebook

b4353d4c-0624-4bb9-a178-828d9d091634

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) merakam percakapan individu terbabit yang hadir ke Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 3 November 2026. Foto MCMC

CYBERJAYA, 3 Nov – Seorang individu dipercayai pemilik akaun Facebook dengan menggunakan nama ‘Vikke Lee’ disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) atas dakwaan memuat naik kandungan yang menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini, MCMC menjelaskan, kandungan tersebut juga dipercayai menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Sehubungan itu, satu sesi rakaman percakapan terhadap individu berkenaan dijalankan di Balai Polis Sri Petaling, ibu negara dan hasil sesi berkenaan, MCMC turut menyita sebuah telefon bimbit berserta satu kad sim bagi siasatan lanjut.

Kenyataan media MCMC yang disiarkan pada 3 November 2026. Foto MCMC

“Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

“MCMC memandang serius penyebaran kandungan dalam talian yang disyaki mengandungi maklumat palsu atau unsur penghinaan terhadap institusi diraja, khususnya kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” kata kenyataan itu.

Agensi kawal selia komunikasi itu turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan platform media sosial secara bertanggungjawab.

“Orang ramai diingatkan agar menggunakan platform media sosial secara bertanggungjawab serta tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan yang melanggar undang-undang negara,” menurut kenyataan itu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *