Demi Kemajuan Kerjaya Pegawai Kanan ATM, Kerajaan Setuju Laksana Penambahbaikan – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan pertemuan khas bersama kepimpinan tertinggi ATM di Putrajaya pada 2 November 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 2 Nov – Sebagai pengiktirafan terhadap amanah dan tanggungjawab besar digalas dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara, kerajaan bersetuju melaksanakan penambahbaikan dalam aspek kemajuan kerjaya pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Persetujuan tersebut dicapai antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau mempengerusikan pertemuan khas bersama kepimpinan tertinggi ATM di Putrajaya, yang dikongsikan di laman media sosial beliau hari ini.
“Ia selaras dengan keperluan memperkukuh keupayaan pertahanan negara dalam mendepani landskap keselamatan dan geostrategik dunia yang semakin kompleks dan mencabar.

“Pertemuan ini turut memberi ruang untuk kami meneliti tahap kesiapsiagaan setiap ketumbukan (pasukan), selain keperluan perolehan dan penyelenggaraan aset pertahanan bagi memastikan keupayaan operasi ATM sentiasa berada pada tahap terbaik,” ujarnya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta para panglima ketiga-tiga cabang dalam ATM.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, pada perbincangan itu, beliau menghargai pandangan maklum balas daripada kepimpinan ATM kerana setiap dasar dan keputusan kerajaan harus berpaksikan keperluan sebenar di lapangan, bukan sekadar pertimbangan di atas kertas.

Katanya, kerajaan akan terus memberikan perhatian sewajarnya terhadap keperluan dan kebajikan warga ATM.
“Sesungguhnya, mempertahankan kedaulatan dan keamanan tanah air bukan sekadar tanggungjawab pasukan keselamatan tetapi amanah besar yang mesti kita junjung bersama,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
