Deepavali 2026: PM Anwar Umum 5.4 Juta Terima STR Fasa 4 Bermula Hari Ini

IMG_0057

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Bazar Mega Deepavali 2026 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Brickfields pada 4 November 2026. Foto Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi/PDRM

PUTRAJAYA, 4 Nov – Seramai 5.4 juta penerima akan menikmati bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 berjumlah RM1.1 bilion yang mula disalurkan secara berperingkat mulai hari ini hingga 6 November depan bagi kategori penerima sedia ada.

Sementara bagi kategori penerima baharu pula dan pemohon yang mengemukakan rayuan yang telah diluluskan akan menerima bantuan sama bermula 16 November depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menjelang sambutan Deepavali, beliau berharap penyaluran STR Fasa 4 dapat meringankan perbelanjaan keluarga yang meraikannya khususnya kaum India yang merupakan antara penerima utama STR dengan lebih 630,000 orang.

Selain itu, katanya, penyaluran bantuan itu juga dapat membantu penerima lain mengurus keperluan harian dan perbelanjaan akhir tahun.

“Kekuatan negara menuntut kita menegakkan keadilan untuk semua kelompok masyarakat, meskipun di kota atau di desa, tanpa mengira kaum dan agama.

“Oleh itu, melalui STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kerajaan mengagihkan sebahagian hasil negara kepada kelompok yang memerlukan agar kita semua dapat mengecapi kehidupan yang lebih bermaruah.

“Bantuan ini melengkapi usaha kerajaan untuk memperkukuh ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Untuk maklumat, daripada jumlah penerima itu, seramai empat juta merupakan penerima isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah, manakala 1.4 juta lagi membabitkan warga emas tiada pasangan.

Mengikut kategori kelayakan, isi rumah akan menerima bayaran sehingga RM500, manakala warga emas tiada pasangan menerima RM150.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Bazar Mega Deepavali 2026 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Brickfields pada 4 November 2026. Foto Aidiel Zabidi

Kementerian Kewangan berkata, penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing.

Manakala, penerima tanpa akaun bank pula boleh mendapatkan bayaran secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Bagi memastikan bantuan STR terus disalurkan kepada golongan yang layak, seramai 1.68 juta penerima yang tidak mengemas kini maklumat permohonan selama tiga tahun berturut-turut telah diingatkan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) supaya berbuat demikian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Bazar Mega Deepavali 2026 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Brickfields pada 4 November 2026. Foto Aidiel Zabidi

“Penerima terlibat disaran mengemas kini maklumat melalui portal rasmi STR bagi membolehkan kelayakan mereka disemak semula untuk tahun 2027,” jelasnya.

Pengemaskinian ini penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan berdasarkan maklumat terkini penerima.

“Penstrukturan semula kewangan kerajaan serta penambahbaikan tatakelola telah membolehkan lebih banyak hasil negara disalurkan kepada rakyat yang memerlukan.

“Peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion, hampir tiga kali ganda pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2016,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *