Deepavali 2026: Pelbagai Bantuan Disalur Kepada Masyarakat India – PM Anwar

IMG_0051

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Bazar Mega Deepavali 2026 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Brickfields pada 4 November 2026. Foto Aidiel Zabidi

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Masyarakat India menerima pelbagai bantuan daripada Kerajaan MADANI menerusi pelbagai inisiatif yang diperkenalkan sejak 2023 sehingga kini.

Malah, ia tidak terhad kepada musim perayaan semata-mata, sebaliknya dilaksanakan sepanjang tahun bertujuan memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima limpahan ekonomi hasil pengurusan kewangan negara yang konsisten.

Sebagai contoh, Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berperanan menyelaras pelbagai program dan inisiatif menerusi bidang pendidikan, kebajikan, keusahawanan, peningkatan bidang kemahiran dan pembangunan sosial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Bazar Mega Deepavali 2026 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Brickfields pada 4 November 2026. Foto Aidiel Zabidi

Perkara tersebut dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata, bantuan yang disediakan menerusi pelbagai agensi dan program kerajaan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pembiayaan keusahawanan melalui Tabung Usahawan Nasional (TEKUN Nasional) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) selain peruntukan bagi pembangunan sekolah Tamil serta rumah ibadat.

“Kadang-kadang orang ingat untuk bantuan masyarakat India ini hanya MITRA, sedangkan ada STR, Amanah Ikhtiar, TEKUN (Nasional) … ini semua juga sebahagian daripada bantuan yang kita sediakan.

“Adakah ini cukup? Belum cukup… itu saya setuju tetapi kita tambah perlahan-lahan… kita bincang dengan baik di mana dulu tidak ada, tapi kita tambah yang baharu,” katanya ketika berucap semasa meninjau Bazar Mega Deepavali 2026 Brickfields di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyempurnakan penyerahan Bakul Makanan kepada penerima kaum India sempena sambutan Deepavali bagi menceriakan suasana sambutan tahun ini.

Anwar juga berkesempatan beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung bazar berkenaan yang sedang sibuk membuat persiapan terakhir menjelang perayaan itu 8 November ini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *