DAP Bukan Lagi Ancaman Kepada Melayu, Islam – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (kiri) berucap pada Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan, UMNO Cawangan-Cawangan Empat Peringkat Dalam Bahagian Bagan Datuk Tahun 2024, di Dewan Perdana, Kompleks UMNO Bagan Datuk, hari ini.

BAGAN DATUK, 12 Mei – DAP bukan menjadi ancaman kepada orang Melayu dan Islam, sebaliknya tohmahan itu dilemparkan pembangkang demi meraih sokongan daripada kaum dan penganut agama tersebut.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, memberitahu, sepanjang Barisan Nasional (BN) dan UMNO berada dalam kerajaan perpaduan, DAP tidak pernah mempersoalkan apa-apa isu berkaitan orang Melayu dan Islam.

Malah jelas beliau, parti itu menghormati Perlembagaan Negara termasuk perkara berkaitan hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan raja-raja Melayu.

Ahmad Zahid (kiri) berucap pada Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan, UMNO Cawangan-Cawangan Empat Peringkat Dalam Bahagian Bagan Datuk Tahun 2024, di Dewan Perdana, Kompleks UMNO Bagan Datuk, hari ini.

“Mereka (pemimpin DAP) tidak ‘komplen’ pun hak orang Melayu dan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, dan bila kita buat kongres ekonomi Bumiputera pun mereka tidak ‘komplen’.

“Yang kata Melayu terancam (oleh DAP) ialah pihak sebelah sana (pembangkang),” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan-cawangan empat peringkat dalam Bahagian Bagan Datuk 2024 di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini hari ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, DAP juga tidak merungut diberi empat jawatan menteri walaupun memiliki 40 kerusi Parlimen berbanding BN memperoleh tujuh jawatan menteri walaupun hanya menang 26 kerusi.

Begitupun, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengakui belum wujud keserasian antara ahli UMNO dengan DAP kerana hubungan mereka masih baharu dan belum mencapai tempoh dua tahun.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *