Dakwa CSA ‘Dajal’: Pas Tiada Prinsip, Cuma Tahu ‘Nak Berkuasa’

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
KUALA LUMPUR, 3 Nov – Pas dibidas kerana tidak mempunyai prinsip dan hanya berpegang kemahuan untuk berkuasa berkait pendirian parti itu mengenai perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA).
Awal hari ini, Presiden Pas, Hadi Awang mengumpamakan CSA ditandatangani kerajaan dengan tujuh Ahli Parlimen pembangkang seperti penipuan dajal – ‘pembohong paling besar’, yang kemunculannya dianggap dalam Islam sebagai antara tanda besar semakin hampirnya Hari Kiamat.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan mengimbau kembali situasi pada 2021, semasa pentadbiran bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob, apabila pembangkang memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan.
“Masa itu, Pas menyambut baik. Malah, wakil Pas Takiyuddin Hassan terlibat sekali dalam penggubalan MoU tersebut.
“Asas MoU masa itu dan CSA zaman Anwar Ibrahim sama sahaja. Mengapa masa itu disambut baik, tetapi hari ini digelar sebagai ‘pendekatan dajal’?” katanya kepada FMT.
Mengulas lanjut, Syahredzan mempersoalkan sikap talam dua muka parti berkenaan yang disifatkannya berubah mengikut kedudukan dalam blok politik.
“Bila Pas dalam kerajaan, memasuki MoU untuk kestabilan politik boleh. Bila Pas jadi pembangkang, meterai CSA untuk kestabilan politik dicerca pula. Jelas bahawa Pas tiada prinsip, hanya berpegang pada kemahuan untuk berkuasa,” katanya.
CSA ditandatangani Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan lima Ahli Parlimen Bersatu lain, serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memberikan tujuh wakil rakyat itu akses peruntukan pembangunan kawasan Parlimen, yang telah diterima oleh Ahli Parlimen kerajaan sepanjang empat tahun lalu.
Ia turut merangka dua reformasi utama yang mesti dilaksanakan Putrajaya sebagai balasan kepada sokongan mereka – meletakkan had tempoh jawatan perdana menteri dan memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya sebelum tamat penggal Parlimen.
Pada 13 September 2021, pentadbiran Ismail yang kekurangan majoriti Parlimen yang kukuh, telah menandatangani MoU dengan PH, yang ketika itu pembangkang.

Di bawah MoU itu, kerajaan bersetuju tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022, manakala PH bersetuju menyokong atau berkecuali dalam pengundian Belanjawan 2022 dan rang undang-undang pembekalan serta tidak menyokong usul membawa undi tidak percaya.
Oleh Chia Wan Rou
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


