Dakwa CSA ‘Dajal’: Azalina Sifatkan Kenyataan Abdul Hadi Keterlaluan

Azalina sifatkan kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) sama seperti 'Dajjal' sebagai keterlaluan. Foto Azalina Othman Said
KUALA LUMPUR, 4 Nov – Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) sama seperti ‘Dajjal’ sebagai keterlaluan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, banyak perkataan lain boleh digunakan Ahli Parlimen Marang itu bagi menyatakan ketidaksetujuan terhadap sesuatu perkara tanpa perlu menggunakan istilah yang boleh mencetuskan tafsiran melampau.
“Kalau dia memanggil Dajjal, saya rasa dialah kena berikan sebabnya. Saya tak boleh komen kerana saya bukan pakar agama. Kalau saya tak suka, banyak lagi perkataan saya boleh pakai kalau tak suka, tapi janganlah sampai ekstrem.
“Saya tengok definisi Dajjal tu, adalah tanda yang turun masa nak kiamat. Adakah dia tahu bila kiamat nak berlaku?” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Pembaharuan Insolvensi Asia 2026, di W Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan menyifatkan pemeteraian CSA sebagai satu ‘pendekatan Dajjal’ kerana ia dianggap mengkhianati amanah.
Katanya, negara seluruh dunia menerima amalan segala hasil negara menjadi hak rakyat, sama ada diperoleh secara langsung atau tidak.
Kerajaan Persekutuan pada minggu lalu memeterai CSA dengan enam Ahli Parlimen mewakili BERSATU dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta enam Ahli Parlimen Bebas.
Menerusi perjanjian itu, kesemua 13 Ahli Parlimen berkenaan bersetuju menyokong pentadbiran Kerajaan MADANI sehingga tamat penggal Parlimen semasa termasuk dalam undian penting berkaitan Belanjawan 2027.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada mereka yang menandatangani CSA itu akan menerima peruntukan RM3 juta setahun sama seperti Ahli Parlimen kerajaan, Azalina berkata pihaknya dimaklumkan begitu.
“Saya tidak tahu lanjut, saya cuma saksi sahaja. Tetapi saya dimaklumkan kononnya sama dengan kerajaan wakil rakyat. Itu saya dimaklumkan, tetapi perbincangan hanya dilakukan sesama mereka,” katanya.
Oleh Noor Atiqah Sulaiman
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



