Cuti Gawai: KPM Nafi Tidak Sensitif Kepada Kaum Dayak – Fadhlina

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika di Dewan Rakyat hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menafikan dakwaan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak sensitif kepada kaum Dayak di Sarawak untuk cuti Hari Gawai.

Sebaliknya, Fadhlina menegaskan, pihaknya sudah mengadakan sesi libat urus bersama beberapa pihak berkepentingan sebelum penetapan hari persekolahan, cuti penggal dan peruntukan cuti tambahan perayaan ditentukan.

Beliau berkata, pihak kementerian amat prihatin kepada keperluan semua kaum yang menyambut perayaan, termasuk Hari Gawai Dayak dengan memperuntukkan cuti tambahan kepada semua guru dan murid yang terbabit di seluruh negara pada setiap tahun.

“KPM sudah mengeluarkan surat siaran kalender akademik sesi 2024-2025 bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan bertarikh 3 November lalu.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika di Dewan Rakyat hari ini. Foto Bernama

“Berdasarkan surat siaran, perayaan Hari Gawai Dayak dalam tempoh cuti penggal satu, sesi 2024-2025 akan bermula pada 25 Mei hingga 2 Jun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi KPM di Dewan Rakyat, hari ini.

Fadhlina berkata, semua murid dan guru akan menyambung cuti umum Persekutuan bagi semua negeri bersempena Hari Keputeraan Seri Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 3 Jun selepas cuti penggal pertama berakhir.

Katanya, sesi persekolahan akan bermula pada 4 Jun 2024 bagi semua negeri di seluruh negara.

“Kerajaan juga memperuntukkan kemudahan cuti bagi pegawai untuk menyambut Hari Gawai Dayak iaitu satu hari cuti tanpa rekod pada 1 atau 2 Jun setiap tahun.

“KPM sangat prihatin dan membenarkan mana-mana sekolah yang mempunyai keperluan memanjangkan cuti sempena Hari Gawai Dayak untuk mengemukakan permohonan cuti berkenaan kepada Pengarah Pendidikan Negeri untuk kelulusan,” katanya.

Terdahulu beliau melahirkan rasa kekesalan dan meminta maaf kepada komuniti India yang tersinggung berkait insiden larangan nyanyian lagu tradisi bahasa Tamil dalam Majlis Perasmian Karnival Bahasa Tamil Peringkat Kebangsaan 2023 di Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.

Beliau menegaskan, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan memberi jaminan ia tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang.

“Ia tidak sepatutnya berlaku. Untuk makluman, lagu Tamil Valthu akan dinyanyikan dalam Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Pulau Pinang pada 29 November supaya dapat dihayati oleh semua warga pendidik di Pulau Pinang, tidak ada masalah.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *