CSA: PM Anwar Tegur Abdul Hadi Hukum Orang, Kumpulan Sebagai ‘Dajjal’

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Ayer Keroh pada 5 November 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AYER KEROH, 5 Nov – Presiden Pas, Abdul Hadi Awang ditegur Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, khususnya apabila menggunakan istilah agama hanya untuk menghukum pendirian atau kumpulan tertentu.

Tegas Perdana Menteri, sebagai seorang tokoh agama, Abdul Hadi seharusnya lebih tenang dalam memberikan pandangan, termasuk berhubung Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang dikaitkan dengan istilah ‘Dajjal’.

“Hadi itu orang alim. Sepatutnya kenyataan dia itu lebih terkawal, ya. Mereka cuba jawab, dia bukan tuju kepada saya. Tidak apa, tapi untuk hukum orang atau kumpulan atau pendirian Dajjal, tak kena,” katanya.

Teguran Anwar itu disampaikan selepas merasmikan Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan juga mempertikai tindakan Pas mengkritik CSA sedangkan cadangan memorandum persefahaman (MoU) berkenaan pada asalnya dikemukakan oleh Perikatan Nasional (PN), yang turut dianggotai parti itu.

Katanya, cadangan itu turut membabitkan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, serta beberapa pemimpin lain ketika pentadbiran kerajaan terdahulu di era Ismail Sabri Yaakob.

“Sekali lagi saya sebut, siapa yang kemukakan kertas cadangan memorandum persefahaman ini adalah Perikatan Nasional, yang dianggotai oleh Pas juga ketika itu, dan Bersatu, dan Umno bersama Pakatan Harapan. Kemudian kita meterai,” tegasnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
