Bomba Selamatkan Tangan Pekerja Restoran Tersepit Dalam Mesin Pengisar Daging

Anggota bomba membantu mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit di dalam mesin pengisar daging. Foto JBPM

SIBU, 10 Jun – Seorang pekerja restoran cedera parah apabila tangannya tersepit di dalam mesin pengisar daging pada Ahad.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Zon 4 Sibu Andy Alie berkata, kejadian itu berlaku di sebuah restoran di pekan Selangau, sekitar jam 12.28 tengah hari.

Katanya, mangsa yang merupakan warga Indonesia, dikenali sebagai Firdaus Andhika Tri Wardana, 21, sedang menjalankan tugas rutin apabila insiden itu berlaku.

“Tangan kanan mangsa tersepit di dalam mesin pengisar daging, menyebabkan kecederaan serius dan putus beberapa jari.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Selangau segera dikerahkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan daripada pemilik restoran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Andy berkata, pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian pada jam 12.30 tengah hari dan terus memulakan operasi menyelamat.

Mesin pengisar berjaya dibuka kira-kira empat minit kemudian dan pasukan operasi berjaya mengeluarkan tangan mangsa.

Anggota jari terputus yang diletakkan di dalam beg ais, kemudian diserahkan kepada pasukan paramedik Anggota Pertahanan Awam (APM) Selangau, katanya.

Pasukan penyelamat turut melakukan pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian untuk memastikan tiada risiko bahaya lain sebelum kembali ke balai pada jam 12:57 tengah hari.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *