Bintang Pop Yeh Yeh A Halim Meninggal Dunia

Allahyarham A Halim meninggal dunia jam 10.01 pagi tadi pada usia 77 tahun.

PASIR GUDANG, 9 Mei – Penyanyi irama pop yeh yeh, Datuk A Halim atau nama sebenar, Halim Md Diah meninggal dunia di Hospital Penawar di sini, pada jam 10.01 pagi tadi.

Allahyarham A Halim yang berusia 77 tahun dimasukkan ke hospital pada 7 petang semalam selepas mengadu sesak nafas.

Berita pemergian Allahyarham A Halim disahkan Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Hafiz Nafiah, melalui kenyataan dikeluarkan.

Allahyarham A Halim mengalami lumpuh sebelah badan selepas diserang angin ahmar sejak lima tahun lalu.

Allahyarham A Halim meninggal dunia jam 10.01 pagi tadi pada usia 77 tahun.

Jenazah allahyarham akan dibawa ke Masjid Al Falah dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Cahaya, Masai, selepas Zohor.

Allahyarham A Halim sebelum ini tinggal bersama anak keduanya, Elly Halim di Seri Alam, di sini. A Halim mempunyai 22 cucu dan tiga cicit.

Sebelum ini, media melaporkan penyanyi dan pencipta lagu Kisah dan Tauladan itu tidak lagi dapat membuat persembahan kerana peti suara sudah rosak.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Allahyarham A Halim pernah menyumbangkan suara bersama beberapa kumpulan kugiran antaranya De’ Fictions, The Wanderers dan The Wisma.

Beliau turut merakam beberapa album antaranya adalah Hitam Manis, EP Gadis Buta, Salam Mesra Dari A Halim dan banyak lagi.

Selain Kisah dan Tauladan, antara lagu dendangan Allahyarham A Halim adalah Doa Dan Harapan, Dendang Terakhir, Kawan Lama, Kan Hilang Nanti, Ku Tetap Kasih, Cenderawasih, Budi Pekerti dan banyak lagi.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *