Belanjawan 2027: Kerajaan MADANI Teliti Tekanan Dihadapi Perusahaan Kecil – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sesi libat urus menjelang pembentangan Belanjawan 2027 di Putrajaya pada 30 September 2026. Foto Instagram Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 30 Sep – Kerajaan MADANI mengambil maklum akan keluhan wakil persatuan dan syarikat kontraktor Bumiputera yang berdepan pelbagai isu meliputi tekanan kos perolehan dan operasi yang dihadapi perusahaan kecil ketika ini.
Berkongsi pandangan di media sosial hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan meneliti aspek berkenaan susulan krisis bekalan global dalam merangka Belanjawan 2027 tidak lama lagi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu antara yang dibangkitkan dalam sesi libat urus Belanjawan 2027 di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan pada sesi berkenaan diambil maklum untuk diteliti sewajarnya dalam penyediaan belanjawan itu.
“Kerajaan MADANI akan memastikan Belanjawan 2027 dapat membuka ruang dan peluang yang lebih luas agar rakyat dan perusahaan dapat membina kemampuan serta mengangkat maruah anak watan,” katanya.

Pelbagai cadangan dan maklum balas diterima dan diselaraskan bersama beberapa agensi kerajaan berkaitan bagi meneliti jenis bantuan dan prosedur yang telah ditetapkan.
Berdasarkan takwim Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang bermula 5 Oktober ini, pembentangan Belanjawan 2027 dijadualkan pada 9 Oktober depan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
