Bekas CEO FELDA Investment Corp Mengaku Tidak Bersalah

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FELDA Investment Corporation (FIC), Mohd Zaid Abdul Jalil
KUALA LUMPUR, 29 Sep – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FELDA Investment Corporation (FIC), Mohd Zaid Abdul Jalil, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memperdaya Lembaga Pengarah FIC berhubung pelantikan syarikat untuk projek dan harga pasaran 24 lot tanah, 12 tahun lalu.
Mohd Zaid, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah serta meminta dibicarakan sebaik saja pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
“Tidak bersalah, mohon dibicarakan,” katanya yang berpakaian kemeja putih dan berdiri di dalam kandang tertuduh.
Skandal FELDA: Laporan Pengurusan, Kerugian Minggu Depan – PM Anwar
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Zaid didakwa memperdaya Lembaga Pengarah FIC untuk mempercayai bahawa syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd layak dilantik sebagai Project Delivery Partner-Master Developer bagi projek ‘The Proposed Commercial Development On FELDA Lots In Jalan Semarak, Kuala Lumpur’, sedangkan beliau mengetahui syarikat itu hanya layak dilantik sebagai Project Delivery Partner-Master Planner.
Perdayaan itu menyebabkan Lembaga Pengarah FIC meluluskan pelantikan syarikat berkenaan sebagai Project Delivery Partner-Master Developer bagi projek itu.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zaid didakwa memperdaya Lembaga Pengarah FIC untuk mempercayai bahawa penilaian harga pasaran 24 lot tanah milik FELDA yang dilaporkan Firdaus & Associates Property Professionals Sdn Bhd adalah berjumlah RM330.96 juta, sedangkan beliau mengetahui jumlah sebenar dilaporkan ialah RM691.7 juta.
Selepas Bongkar Tabung Haji, FELDA Menyusul Tidak Lama Lagi – PM Anwar
Mohd Zaid didakwa memperdaya Lembaga Pengarah FIC untuk mempercayai bahawa penilaian indikatif (indicative valuation) Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) terhadap 24 lot tanah terbabit bernilai RM180 juta, sedangkan beliau mengetahui JPPH tidak pernah memberikan penilaian indikatif berkenaan kepada FIC.
Perdayaan itu menyebabkan Lembaga Pengarah FIC menerima tawaran daripada Synergy Promenade Sdn Bhd berhubung cadangan Minimum Guaranteed Return (MGR) sebanyak RM500 juta atau 10 peratus daripada Gross Development Value (GDV), mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park di sini, masing-masing pada 16 Januari dan 29 April 2014.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Oleh Muhamad Lokman Khairi
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

