Bantuan RM500 Tiket Penerbangan: Bukti Keprihatinan Anwar Terhadap Mahasiswa Sabah-Sarawak
Kerajaan MADANI terus prihatin dengan kesulitan dihadapi mahasiswa dari Sabah, Sarawak dan Labuan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bantuan one-off RM500 sempena sambutan Hari Malaysia 2026 pada 16 September 2026. Foto PMO
PENDAPAT, 17 Sep – Tanpa disangka-sangka, pengumuman Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan Domestik secara sekali bayar (one-off) bernilai RM500 kepada setiap mahasiswa baharu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang layak bagi sesi kemasukan September dan Oktober ini, membuktikan keprihatinan mendalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kesukaran unik yang dihadapi golongan mahasiswa di Sabah, Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya.
Inisiatif yang diumumkan Anwar sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) itu akan memberi manfaat kepada 7,095 pelajar yang perlu menggunakan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan bagi memulakan pengajian masing-masing di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.
Menerusi mekanisme kelayakan yang mudah, ia sudah pasti akan menjadikan bantuan berkenaan sebagai pembakar semangat memulakan pengajian masing-masing tanpa perlu memikirkan tentang kos perjalanan dan suasana memulakan hidup baharu sebagai mahasiswa.

Ini penting kerana kos tiket penerbangan sering menjadi beban tambahan signifikan buat keluarga B40 dan M40 di Malaysia Timur, berbanding pelajar di Semenanjung yang boleh menggunakan pengangkutan darat lebih murah.
Kepekaan ini menunjukkan Anwar memahami realiti geografi negara yang tidak sekata manakala jurang jarak antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung sepatutnya tidak menjadi penghalang kepada akses pendidikan tinggi.
Inisiatif ini turut diumumkan bersama langkah lain seperti penambahbaikan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) dan penstrukturan semula geran khas Sarawak, mencerminkan komitmen menyeluruh Kerajaan MADANI meringankan beban rakyat, khususnya di Malaysia Timur.

Walaupun jumlah RM500 mungkin kelihatan kecil berbanding kos keseluruhan pengajian termasuk kos sara hidup, simboliknya besar, menunjukkan kerajaan sensitif terhadap cabaran harian rakyat, bukan sekadar fokus kepada dasar makro semata-mata.
Rata-rata para mahasiswa baharu yang akan memulakan pengajian di Sabah, Sarawak dan Labuan merasa lega dengan pengumuman Perdana Menteri melihat kepada respon positif di media sosial sejak malam tadi.
Ini bertepatan dengan semangat Hari Malaysia, Segulai Sejalai sekali gus mengukuhkan ikatan perpaduan antara Semenanjung dan Borneo melalui tindakan konkrit, bukan retorik semata-mata.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


