Bantuan Interpol Kesan Suspek Diperlukan Segera Pulihkan Keyakinan Rakyat

Bantuan Interpol Kesan Suspek Diperlukan Segera Pulihkan Keyakinan Rakyat

Serangan ke atas kedai serbaneka di Kuching dan Sri Aman baru-baru ini hingga beberapa suspek melarikan diri ke luar negara menuntut bantuan Interpol.

KUCHING, 30 Sep – Keputusan Polis Sarawak mendapatkan bantuan pihak berkuasa antarabangsa termasuk Interpol bagi mengesan suspek yang melarikan diri ke luar negara berhubung siri kes khianat menggunakan api dan bahan letupan membabitkan kedai serbaneka di Kuching dan Sri Aman, adalah langkah wajar dan perlu diperkukuh dengan segera.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah mendedahkan tiga suspek telah ditahan manakala kira-kira 10 lagi individu dikenal pasti terlibat, dengan sebahagian dipercayai telah melarikan diri ke luar negara.

Siasatan awal mendapati kejadian melibatkan suspek bertopeng membaling objek disyaki bahan letupan atau mudah terbakar ke dalam premis, berpunca daripada perebutan perniagaan, termasuk penjualan tambah nilai (top-up) yang dipercayai dikaitkan dengan aktiviti perjudian dalam talian (online gambling).

Kejadian serangan kedai serbaneka mesti disiasat segera bagi memulihkan keyakinan orang awam.

Bantuan Interpol amat penting kerana had bidang kuasa domestik PDRM tidak melangkaui sempadan negara, sedangkan suspek yang melarikan diri berpotensi terus mengancam keselamatan peniaga tempatan dari luar negara, atau mengatur lagi serangan susulan melalui rangkaian rakan subahat dalam negara.

Kembimbangan dalam kelewatan menangkap dalang sebenar berisiko menghantar isyarat salah kepada masyarakat perniagaan bahawa taktik intimidasi menggunakan keganasan boleh terlepas daripada hukuman, sekali gus menggalakkan lebih banyak kejadian serupa demi menguasai pasaran perniagaan tempatan secara tidak sah.

Peniaga kedai serbaneka di seluruh Sarawak, khususnya yang beroperasi kecil-kecilan, kini hidup dalam ketakutan susulan siri serangan baru-baru ini.

Ketenteraman awam menjadi keutamaan pihak berkuasa bagi memulihkan situasi yang tercetus akibat siri serangan baru-baru ini.

Tindakan tegas dan pantas, termasuk kerjasama menyeluruh dengan Interpol, penyiasatan menyeluruh terhadap penyalahgunaan lesen perniagaan yang turut dikenal pasti, serta pendakwaan segera suspek yang telah ditahan, merupakan kunci memulihkan rasa selamat dan keyakinan orang awam terhadap sistem keselamatan negara.

Tanpa tindakan pantas dan menyeluruh, insiden sebegini berisiko menjadi barah yang menggugat ketenteraman awam dan imej Sarawak sebagai destinasi perniagaan yang selamat.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web