Banjir Nepal: PM Shah Jamin Kerjasama Penuh Sahkan Status 54 Rakyat Malaysia – PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Abdullah bin Zubair, Pengkalan Udara TUDM Sungai Besi pada 2 Oktober 2026. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 2 Okt – Banjir besar dan tanah runtuh melanda Nepal bulan lalu yang mengakibatkan 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dikesan, menerima jaminan daripada Perdana Menteri negara itu, Balendra Shah yang akan memberikan segala kerjasama diperlukan bagi memudahkan proses pengesahan status mereka secepat mungkin.
Perkara tersebut dikongsikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan jaminan yang disampaikan Shah kepada beliau menerusi perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin itu baru-baru ini.
Bagi tujuan itu, Anwar telah mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar supaya mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa Nepal dalam kadar segera berhubung proses dokumentasi dan perkara berkaitan undang-undang negara itu.

“Mereka mempunyai undang-undang mereka, manakala undang-undang kita menetapkan tempoh enam hingga tujuh tahun (berhubung status undang-undang rakyat Malaysia yang masih hilang). Di sana tempohnya tiga tahun, tetapi kita masih boleh membuat permohonan kepada mahkamah.
“Balendra Shah memberi jaminan kepada saya bahawa beliau akan memberikan segala kerjasama diperlukan untuk memudahkan (proses) supaya keluarga terbabit dapat mendapat maklumat secepat mungkin,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan terkini rakyat Malaysia yang hilang dalam bencana itu di Nepal.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Kuarters Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi, di sini hari ini.

Terdahulu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah dihantar ke kawasan bencana selama 10 hari atas persetujuan kerajaan negara itu namun pelbagai cabaran ditempuhi masih belum dapat menemukan mereka.
Bencana dahsyat yang melanda sempadan China-Nepal berpunca dari kawasan ais glasier cair dan batuan di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet, mengakibatkan lebih 1,450 nyawa hilang, manakala lebih 600 warga asing turut belum dapat dikesan setakat ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
