Anjing Pengesan K9 Berjaya Kesan Mayat Lelaki Bangladesh Tertimbus
Mayat warga Bangladesh yang bekerja di ladang sayur dibawa keluar pasukan JBPM pada 4 Oktober 2026. Foto JBPM Kelantan
GUA MUSANG, 4 Okt – Misteri kehilangan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah kebun sayur di Tanah Tinggi Lojing, di sini Jumaat lalu, akhirnya berakhir duka apabila mayatnya ditemukan tengah hari tadi.
Isyarat dikesan anjing pengesan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Frankie, membawa kepada penemuan mayat Md Fahad Hossan, 27, pada jam 12.55 tengah hari tadi.
Keadaan mayat yang tertimbus itu dikesan kali terakhir dilihat rakan mangsa yang berjaya menyelamatkan diri namun gagal membantu mangsa kira-kira 15 minit selepas tanah menggelongsor berlaku.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, operasi menggali timbunan tanah menggunakan jengkaut bermula kira-kira jam 8.55 pagi tadi.
Katanya, Frankie memberikan isyarat di satu lokasi yang dipercayai mempunyai kedudukan mangsa sebelum kerja penggalian menggunakan jengkaut dijalankan.
“Berdasarkan isyarat anjing K9, pasukan SAR menjalankan kerja penggalian di lokasi berkenaan dan mangsa akhirnya ditemukan pada jam 12.55 tengah hari.
“Mayat mangsa kemudian dikeluarkan dari timbunan tanah sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
