Analisis: Peranan PETROS Berkembang Tanpa Gugat Kedudukan PETRONAS
Kerajaan Persekutuan komited mempertahankan hak Sarawak menerusi kerjasama strategik PETROS-PETRONAS, bukan mewujudan sebarang persaingan terbuka. Foto Reuters
KUCHING, 3 Okt – Peningkatan peranan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dalam sektor gas wajar dilihat sebagai langkah memperkasa keadilan ekonomi Sarawak, bukan percubaan menggantikan atau melemahkan kedudukan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Sejak dilantik sebagai pengagregat gas Sarawak berkuat kuasa 1 Mac 2025 di bawah Ordinan Pengedaran Gas (Distribution Gas Ordinance – DGO) 2016, PETROS kini aktif terlibat dalam 20 Kontrak Perkongsian Pengeluaran (Production Sharing Contract – PSC) merangkumi kawasan luar pesisir dan daratan, dengan empat projek menuju Keputusan Pelaburan Akhir (Final Investment Decision – FID) pada 2026, termasuk pengeluaran gas pertama dari medan PC4 dan Salbiah di Bintulu.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg sendiri menegaskan formula pengurusan gas negeri yang dirangka bukan bertujuan “membunuh” PETRONAS, sebaliknya hanya bagi memastikan keadilan kepada Sarawak sebagai pemilik kira-kira 62 peratus rizab gas negara.

Pendirian ini turut disokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan Kerajaan Persekutuan komited mempertahankan hak Sarawak menerusi kerjasama strategik PETROS-PETRONAS, bukan mewujudan sebarang persaingan terbuka.
Walaupun PETRONAS pernah memfailkan usul di Mahkamah Persekutuan bagi memperoleh kejelasan rangka kerja kawal selia, syarikat itu sendiri menegaskan tindakan tersebut tidak bertujuan mencabar aspirasi pembangunan Sarawak atau menghalang peranan PETROS.
Pendekatan rundingan komersial turut diutamakan berbanding litigasi berpanjangan, dengan kedua-dua pihak menyasarkan penyelesaian yang saling menghormati undang-undang sedia ada.

Model pembahagian peranan yang dicadangkan sesetengah penganalisis, PETROS menguasai pengagregatan domestik manakala PETRONAS kekal mengendalikan eksport ke pasaran utama seperti Jepun dan Korea yang menunjukkan kedua-dua entiti berpotensi beroperasi secara saling melengkapi, bukan bertindih demi kepentingan ekonomi bersama Malaysia.
Justeru, PETROS digesa agar lebih menghormati kedudukan PETRONAS sebagai agensi tunggal kawal selia perkhidmatan tenaga nasional manakala PETROS boleh memantapkan operasi domestik terutama di kawasan pedalaman dengan siapnya jaringan Lebuhraya Pan Borneo sehingga ke Sabah.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
