AMK Cadang Tubuh Unit Khas Pantau Isu 3R

Adam Adli (tengah) bersama ahli AMK yang menghadiri Konvensyen AMK Wilayah Tengah 2023 di Ipoh hari ini. Foto Bernama
IPOH, 5 Nov – Angkatan Muda KEADILAN (AMK) bercadang menubuhkan unit khas bagi membantu memantau sebarang isu agama, raja dan kaum (3R) dalam platform media sosial.
Ketuanya, Adam Adli Abdul Halim, berkata ia adalah antara cadangan dikemukakan ketika Konvensyen AMK, dan akan diteliti bagi menentukan kaedah pelaksanaannya.
“Kalau ada orang menggunakan media sosial untuk membuat tohmahan serta dakwaan berkait isu perkauman, biarlah ada naratif balas, dan ia antara perkara yang boleh dibuat unit itu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Konvensyen AMK Wilayah Tengah 2023 membabitkan AMK Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Adam Adli berkata, sesi di Perak yang dihadiri 200 ahli berkenaan adalah penutup kepada konvensyen peringkat cabang dan negeri yang diadakan sejak bulan lalu bagi setiap zon bermula di Sabah (zon Borneo), diikuti Pahang (zon Timur), Pulau Pinang (zon Utara) serta Melaka (zon Selatan).

Seterusnya, beliau berkata, AMK turut menyediakan latihan berkala kepada ahli baharu bagi memantapkan pemahaman berkaitan prinsip dan idealisme parti.
“Ini supaya sesiapa yang masuk sebagai ahli KEADILAN memahami dan tahu prinsip parti serta boleh menerangkan dengan lebih baik kepada masyarakat di luar sana,” katanya.
Setakat ini, beliau memaklumkan, AMK mempunyai 228,000 ahli di seluruh negara dengan didahului Selangor yang mempunyai 70,000 ahli, manakala Perak pula 14,000 ahli.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web