Akibat Strok, Sharon Stone Kena ‘Scam’ Hilang Jutaan Dolar

Sharon Stone dedah orang ramai ambil kesempatan ke atas wang simpanannya ketika dirinya sedang berdepan penyakit strok yang hampir meragut nyawa. Foto The People

LONDON, 10 Jul – Bintang Hollywood, Sharon Stone mendedahkan bagaimana orang ramai mengambil kesempatan atas kewangannya ketika dirinya sedang pulih daripada penyakit strok yang hampir meragut nyawanya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pada 2001, bintang Basic Instinct itu mengalami strok yang menyebabkan pendarahan otak selama sembilan hari hingga memaksanya berehat daripada Hollywood selama tujuh tahun untuk pulih sepenuhnya.

“Orang ramai mengambil kesempatan ke atas saya sepanjang tempoh itu.

“Saya mempunyai simpanan US$18 juta (RM84.73 juta) hasil daripada kejayaan, tetapi apabila saya memeriksa akaun bank, semuanya sudah habis.

“Peti sejuk, telefon saya, semuanya atas nama orang lain. Saya tidak mempunyai wang langsung,” katanya kepada The Hollywood Reporter.

Aktres berusia 66 tahun itu berkata, dia memilih untuk fokus kepada perkara positif daripada berasa pahit mengenai pengalamannya selepas mengalami penyakit strok.

“Saya memutuskan untuk terus menikmati masa sekarang dan melepaskan segalanya. Saya memilih tidak berpegang kepada sakit, kepahitan atau kemarahan.

“Jika menggigit benih kepahitan, ia tidak akan pernah hilang. Tetapi, jika mempunyai kepercayaan, walaupun sekecil biji sawi, anda akan bertahan. Jadi, saya hidup untuk kegembiraan dan tujuan,” katanya.

Stone berkata, strok itu mengubah sepenuhnya cara otaknya berfungsi.

Katanya, seorang sami Buddha memberitahu bahawa dirinya dijelmakan semula dalam badan yang sama.

“Saya mengalami pengalaman hampir mati dan kemudiannya, mereka membawa saya kembali.

“Selama sembilan hari otak saya mengalami pendarahan, jadi otak saya ditolak ke bahagian depan muka. Ia tidak berada pada posisi asal di kepala.

“Dan semasa itu berlaku, semuanya berubah iaitu deria bau, penglihatan dan sentuhan. Saya tidak dapat membaca selama beberapa tahun. Semuanya menjadi kabur dan saya melihat corak warna.

“Ramai orang menyangka saya akan mati,” katanya.

Sebelum ini, Stone berkata, doktor menyangka dirinya berpura-pura mengalami pendarahan otak akibat arteri vertebra yang pecah.

Pada 2023, Stone mendedahkan kepada majalah Vogue, mereka terlepas diagnosisnya dengan angiogram pertama dan menganggapnya berpura-pura.

“Kawan baik memujuk mereka untuk melakukan imbasan kedua dan mereka mendapati saya mengalami pendarahan dalam otak, seluruh kolam ‘subarachnoid’ dan ‘arteri vertebra’ pecah.

“Saya akan mati jika mereka menghantar saya pulang,” dedahnya.

Stone berkata, dia mengambil ubat setiap hari untuk mengatasi gagap dan sawan otak yang teruk.

Bagaimanapun, Stone tidak berkongsi butiran pendarahan otak selama beberapa tahun berikutan bimbang reaksi orang ramai.

Stone kini adalah ahli lembaga Yayasan Neurologi Barrow di AS yang merawat keadaan otak dan tulang belakang. – AGENSI


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *