Aidiladha Di Gaza Tenang Namun Diselubungi Duka

Penduduk Palestin menunaikan solat sunat Aidiladha di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza pada hari pertama Hari Raya Korban. Foto AFP

GAZA, 18 Jun – Hari Raya Aidiladha di wilayah terkepung ini disambut dalam keadaan tenang meskipun berlaku beberapa pembedilan di kawasan Shujaiya dan Zeitun di Kota Gaza, selain serangan artileri Israel di Rafah, selatan Gaza, menurut agensi pertahanan awam Gaza.

“Berbanding beberapa hari sebelum ini, hari ini, hari pertama Aidiladha, dianggap agak tenang dan ketenangan itu berlarutan di seluruh gaza,” kata jurucakapnya Mahmud Basal kepada AFP.

Koresponden AFP di utara dan tengah Gaza melaporkan tiada pertempuran pagi semalam walaupun beberapa pembedilan dan sekurang-kurangnya satu serangan udara di Rafah dan tengah Gaza pada awal malam.

Kanak-kanak antara yang cedera dan maut dalam serangan udara ke atas kem pelarian Bureij itu, menurut paparan imej AFP.

Seorang anggota perubatan pantas mengepam dada seorang pesakit yang tidak sedarkan diri ketika sebuah ambulans tiba di hospital di bandar Deir al-Balah.

“Sejak awal pagi ini, kami berasakan ketenangan mendadak tanpa tembakan atau pengeboman, aneh,” kata Haitham al-Ghura, 30, dari Kota Gaza.

Rejim Israel dalam satu kenyataan mengesahkan tiada pengurangan keganasan di selatan Semenanjung Gaza dan seorang askarnya maut kelmarin dalam pertempuran di selatan wilayah itu.

“Jeda untuk tujuan kemanusiaan ini akan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 7 malam setiap hari sehingga notis lanjut di sepanjang jalan dari lintasan Kerem Shalom ke jalan Salah al-Din dan kemudian ke arah utara,” menurut kenyataan rejim.

Keadaan tenang berterusan di sebahagian besar sehingga penghujung jeda kelmarin, menurut koresponden AFP.

Peta yang dikeluarkan rejim menunjukkan laluan kemanusiaan yang diumumkan dilanjutkan hingga Hospital Eropah di Rafah, kira-kira 10 kilometer dari Kerem Shalom.

Pengumuman dibuat ketika umat Islam menyambut Hari Raya Korban di seluruh dunia.

“Kami tidak bergembira seperti biasa pada Hari Raya ini.

“Saya datang untuk solat Aidiladha dalam keadaan berkabung kerana telah kehilangan anak lelaki saya,” kata Umm Muhammad al-Katri dari kem pelarian Jabaliya di utara Gaza. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *