Ahli Parlimen KEADILAN Tangga Batu, ADUN Klebang Bantu Mangsa Banjir

4639CD0B-D3F9-4D7B-84DE-C887B0A7E68B

MELAKA, 17 Mei – Hujan lebat seawal jam 4 pagi menyebabkan beberapa kawasan di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin dinaiki air pada Isnin.

Menurut Ahli Parlimen KEADILAN Tangga Batu, Profesor Rusnah Aluai, hujan lebat berkenaan melanda beberapa penempatan penduduk sekitar dan air mula naik sejak jam 5 pagi tadi.

Antara kawasan dinaiki air termasuk Ayer Keroh Height; Taman Melawis; Taman Bukit Beruang Utama; Taman Malim Jaya; Kampung Sungai Putat; Taman Bukit Melaka; Taman Seri Jati 6; Taman Sutera Wangi; Kampung Bukit Tambun Durian Tunggal; Taman Merak Mas dan Taman Ambersador Durian Tunggal.

Difahamkan sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah, Batu Berendam.

Beliau yang melawat kawasan terjejas banjir di Taman Rambai Jaya, Bukit Rambai dekat sini memaklumkan bantuan segera akan disalurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada penduduk yang dipindahkan dalam masa terdekat.

Paparan video lawatan ke kawasan terjejas dikongsikan di laman Facebook rasmi beliau pagi tadi.

Turut membantu mangsa banjir yang terjejas ialah ADUN KEADILAN DUN Klebang, Datuk Gue Teck dan pasukan pejabat pusat khidmat DUN itu.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.20 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP Padang Temu bersama 28 anggota bergegas ke lokasi kejadian.