Agong Terima Mengadap PM Anwar Sempena Sambutan Hari Kebangsaan
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada 30 Ogos 2026. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, hari ini.
Menurut laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda dipersembahkan dengan pelbagai perkembangan terkini dalam negara termasuk persiapan sambutan Hari Kebangsaan yang akan berlangsung esok.
“Saya berharap sambutan kemerdekaan berlangsung dengan lancar.

“Saya juga tidak sabar untuk menyaksikan semua pihak yang terlibat memberikan usaha sebaiknya dalam memperingati peristiwa yang cukup penting dalam sejarah negara kita,” titah Seri Paduka.
Terdahulu pada 8 Ogos lalu, Sultan Ibrahim ertitah supaya siasatan berhubung Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dijalankan ‘sehingga ke lubang cacing’.
Seri Paduka Baginda bertitah, langkah itu penting bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

Selain itu, Sultan Ibrahim juga bertitah supaya siasatan berhubung perkara berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh, tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Sementara itu, difahamkan lebih 80,000 orang dijangka membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyaksikan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan ke-69, bermula jam 7 pagi esok.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, jumlah kehadiran itu dijangka sama atau melebihi jumlah yang direkodkan pada tahun lalu dan tahun sebelumnya.

Menurut beliau, kemudahan pengangkutan awam yang disediakan sepanjang sambutan kali ini dijangka memudahkan lebih ramai orang untuk hadir.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
