Agong, Raja Permaisuri Berangkat Ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri

Sultan Ibrahim bersama Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama Perdana Menteri dan isteri, anggota jemaah Menteri, Timbalan-timbalan Menteri dan tetamu kenamaan di Istana Negara, hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 10 Apr – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara, di sini, hari ini.

Majlis itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; menteri Kabinet, serta pasangan masing-masing.

Majlis dihadiri kira-kira 400 tetamu itu turut disertai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Sultan Ibrahim bersama Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama Perdana Menteri dan isteri, anggota jemaah Menteri, Timbalan-timbalan Menteri dan tetamu kenamaan di Istana Negara, hari ini. Foto Bernama

Perwakilan asing, termasuk dari United Kingdom (UK), Turkiye, Mesir, Uzbekistan, Maldives, Senegal dan Ireland, turut hadir.

Tetamu lain yang dijemput adalah kerabat Diraja Johor.

Antara juadah disajikan ialah lemang, ketupat, rendang, sate, nasi beriani, laksa Johor dan mi rebus Johor yang dihidangkan secara bufet.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara. – BERNAMA


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *