Adegan Kejar-Mengejar Lelaki Curi Lori Hijau Curi Tumpuan Warganet
Aksi kejar-mengejar ke atas seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencuri lori dalam kejadian di kawasan perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang pada 30 September 2026.
PASIR GUDANG, 30 Sep – Detik-detik ala filem Hollywood disaksikan apabila seorang lelaki tempatan yang mempunyai 27 rekod jenayah lampau ditahan selepas dipercayai melarikan sebuah lori sebelum terlibat dalam kejadian kejar-mengejar dalam video tular polis polis cuba memintas lori hijau di kawasan perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini hari ini.
Aksi berkenaan turut mengundang perhatian warganet yang mengikuti ‘drama’ kejar-mengejar menggunakan kenderaan polis hingga suspek ditahan selepas enggan memberhentikan lori berkenaan ketika dikesan polis malah memandu secara berbahaya sehingga melanggar sebuah kereta peronda polis.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai keberadaan lori yang dilaporkan hilang dipercayai dicuri di kawasan Plentong.

Menurut beliau, orang awam menghubungi polis selepas mengesan lori berkenaan di kawasan perindustrian Tanjung Langsat.
“Bertindak atas maklumat tersebut, pihak polis berjaya mengesan lori berkenaan namun suspek yang memandu lori enggan memberhentikan kenderaan menyebabkan berlaku aksi polis mengejar suspek.
“Semasa cuba melarikan diri, suspek memandu secara berbahaya dan melanggar kereta peronda polis sebelum berjaya ditangkap di kawasan Pasir Gudang,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek turut menemui satu paket lut sinar mengandungi bahan disyaki dadah.
Jelasnya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 27 rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.
“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek pula didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
