4 MP Bersatu Sokong Kerajaan Perpaduan Tak Sama Dengan Langkah Sheraton – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ditanya mengenai langkah empat ahli parlimen Bersatu mengalih sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan di San Francisco, California, Amerika Syarikat pada Jumaat. Foto Bernama

SAN FRANCISCO, 18 Nov – Tindakan empat Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan terbuka dan beralih memilih Kerajaan Perpaduan berbeza sama sekali dengan apa yang berlaku ketika Langkah Sheraton pada 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana tindakan diambil empat Ahli Parlimen BERSATU itu dibuat atas kerelaan sendiri, selepas masing-masing hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan parti.

“Dalam Langkah Sheraton mereka secara terbuka mengakui mana-mana pihak yang bertukar sokongan akan diberi ganjaran (jawatan dan habuan lain).

“Bagaimanapun, dalam kes empat Ahli Parlimen (BERSATU) itu, ia berlaku selepas mereka melihat sendiri apa yang berlaku (di kem pembangkang),” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan empat Ahli Parlimen BERSATU iaitu Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli), yang masing-masing menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ditanya mengenai langkah empat ahli parlimen Bersatu mengalih sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan di San Francisco, California, Amerika Syarikat pada Jumaat. Foto Bernama

Langkah Sheraton bermula apabila 11 Ahli Parlimen daripada KEADILAN mengumumkan keluar parti dan membentuk blok bebas, selain keputusan BERSATU untuk keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).

Peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pula secara rasmi menamatkan pemerintahan kerajaan PH.

Langkah Sheraton berlaku pada 23 Februari 2020 menamatkan pemerintahan PH selepas gabungan itu mencipta sejarah dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau sebelum ini cuba untuk mengelak daripada mengulas mengenai isu sokongan empat Ahli Parlimen BERSATU itu kepada Kerajaan Perpaduan, namun memilih untuk menjawab selepas soalan berkenaan diajukan kepadanya dan pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap kerajaan.

Seorang penuntut di sini turut membangkitkan isu sama ketika soal jawab pada sesi Bertemu Perdana Menteri yang dianjurkan di luar Sidang Kemuncak APEC 2023.

Perdana Menteri berkata, pemimpin pembangkang berulang kali memberitahu penyokong bahawa mereka mempunyai angka untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dan mengelirukan semua orang sejak sekian lama.

Katanya, kini Ahli Parlimen mereka sendiri menyedari bahawa itu semua hanyalah omong kosong.

“Ahli Parlimen pembangkang sering mendengar pemimpin parti mengatakan mereka mempunyai jumlah kerusi untuk menjatuhkan kita… bahawa mereka mempunyai sokongan Sarawak, UMNO dan juga pihak Istana.

“Namun, tiada apa yang berlaku dan mereka sedar perlu menumpukan perhatian untuk melaksanakan projek berteraskan rakyat di kawasan mereka,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menambah selepas Ahli Parlimen pembangkang menukar sokongan mereka, dakwaan rasuah mula timbul dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk menyiasat kerana kerajaan tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.

Sebelum ini, media melaporkan, SPRM akan memanggil empat Ahli Parlimen berkenaan sebagai sebahagian daripada siasatan atas tuduhan rasuah.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *