33 PATI Dicekup Cuba Ceroboh Sempadan Laut – Maritim Malaysia

IMG_5802

Penguatkuasa Maritim Malaysia menahan bot mencurigakan kira-kira 0.7 batu nautika barat daya Pantai Kuala Lukut, Negeri Sembilan pada 11 September 2026. Foto Maritim Malaysia

PORT DICKSON, 12 Sep – Cubaan membawa masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui laluan laut yang tidak diwartakan berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Port Dickson, malam tadi.

Operasi oleh Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan (IPMNMNS) itu membawa kepada penahanan 33 individu warganegara Indonesia, termasuk seorang tekong, yang dipercayai cuba memasuki negara ini secara tidak sah melalui laluan laut.

Pengarah Maritim IPMNMNS, Kepten Maritim Salehuddin bin Zakaria, berkata kejayaan tersebut hasil pengesanan menerusi Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) serta pemantauan berterusan Maritim Malaysia terhadap aktiviti penyeludupan migran yang dikesan masih menggunakan laluan laut sebagai jalan masuk bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa.

Penguatkuasa Maritim Malaysia menahan bot mencurigakan kira-kira 0.7 batu nautika barat daya Pantai Kuala Lukut, Negeri Sembilan pada 11 September 2026. Foto Maritim Malaysia

Menurut beliau, sekitar jam 9.30 malam, 11 September 2026, aset ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Benteng dan Op Tiris mengesan sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.7 batu nautika barat daya Pantai Kuala Lukut, Negeri Sembilan.

“Bot berkenaan telah diarahkan untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan. Bagaimanapun, tekong bertindak memecut laju dalam cubaan meloloskan diri daripada pemeriksaan.

“Anggota Maritim Malaysia kemudiannya melaksanakan tindakan mengejar sebelum berjaya memintas dan menahan bot tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa seramai 33 individu berusia antara 13 hingga 58 tahun, terdiri daripada 21 lelaki dan 12 wanita, kesemuanya warganegara Indonesia.

Penguatkuasa Maritim Malaysia menahan bot mencurigakan kira-kira 0.7 batu nautika barat daya Pantai Kuala Lukut, Negeri Sembilan pada 11 September 2026. Foto Maritim Malaysia

“Semakan awal mendapati kesemua individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah untuk berada di perairan Malaysia dan dipercayai cuba memasuki negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan,” katanya.

Beliau berkata, taktik menggunakan bot pancung melalui laluan laut yang sukar dikesan dipercayai merupakan antara modus operandi yang digunakan bagi mengelakkan pengesanan serta pemeriksaan pihak berkuasa.

Kesemua PATI bersama seorang tekong dan sebuah bot pancung telah ditahan sebelum dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan serta siasatan lanjut.

Penguatkuasa Maritim Malaysia memeriksa bot mencurigakan kira-kira 0.7 batu nautika barat daya Pantai Kuala Lukut, Negeri Sembilan pada 11 September 2026. Foto Maritim Malaysia

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Maritim Malaysia menegaskan bahawa tiada ruang untuk sebarang bentuk aktiviti penyeludupan migran yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara. Pemantauan serta rondaan berterusan akan dipertingkatkan, khususnya di kawasan perairan yang berpotensi dijadikan laluan masuk tidak sah, bagi memastikan sebarang cubaan menceroboh sempadan perairan negara dapat dikesan dan ditangani dengan pantas.

Sumber: Maritim Malaysia

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web