21 Kertas Siasatan Dibuka Kes Tipu Bina, Beli Rumah Tidak Wujud

Foto Arkib

MIRI, 16 Nov – Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri berjaya membuat pertuduhan ke atas 21 kertas pertuduhan terhadap dua lelaki dan seorang wanita yang dituduh atas kes penipuan pembelian dan pembinaan rumah yang tidak wujud di sini. 

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, siasatan bagi laporan-laporan polis yang telah dibuat oleh mangsa dalam kes ini juga masih berjalan.

“Tindakan pertuduhan akan dibuat secara berperingkat di masa depan setelah kes tersebut lengkap dan mendapat arahan pertuduhan daripada pihak pendakwa raya,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Terdahulu Alexson memberitahu, pada 6 November lepas pada jam 9 pagi di Mahkamah Majistret Miri, ketiga-tiga suspek terbabit yang berusia 40-an hingga 60-an telah dituduh dengan 19 lagi pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 akta sama.

Foto Arkib

“Ini melibatkan 19 kertas siasatan atas kerugian berjumlah keseluruhan RM883,670 yang telah dilaporkan pada tahun lalu.

“Tertuduh yang diwakili peguam bela mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan majistret dan telah diberikan jaminan tunai sebanyak RM500 dengan seorang penjamin tempatan bagi setiap pertuduhan terlibat sementara menunggu tarikh perbicaraan.

“Tarikh pengurusan kes praperbicaraan (PTCM) telah ditetapkan pada 6 Disember depan jam 9 pagi, manakala perbicaraan awal bagi dua kertas siasatan kes ini juga dijangka pada 20 hingga 23 November ini di Mahkamah Miri,” ujarnya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *